Ketua Penaja BERSATU Bahagian Kimanis mengingatkan jentera parti khususnya Srikandi BERSATU yang datang dari seluruh bahagian di negeri ini agar mengamalkan pendekatan berhemah ketika kempen sepanjang PRK Kimanis yang bermula 4 Januari depan.
Katanya, budaya hemah dan berkasih sayang perlu menjadi amalan semasa mendekati rakyat di peringkat akar umbi yang mempunyai latar belakang budaya yang berbeza.
"Gunakanlah pendekatan berhikmah dan berkasih sayang ketika mengakrabi pengundi di peringkat akar umbi, jauhkanlah sifat caci cerca dan celah dengan memperlekehkan sesiapa sahaja semasa kita berkempen," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Sri Kandi BERSATU dari seluruh bahagian di kediaman beliau di kampung Pimping Membakut baru baru ini.
Menurut Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, matlamat utama ialah membantu calon WARISAN yang diletakkan di kawasan itu bagi memenangi PRK kali ini.
"Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan memperjelaskan isu-isu semasa yang dibangkitkan oleh parti lawan kepada rakyat agar ianya tidak dimanipulasikan demi kepentingan politik," katanya.
Arifin menambah jika pendekatan berhemah dilakukan dengan memperjelaskan isu-isu semasa yang disertai dengan fakta dan hala tuju yang jelas rakyat akan mudah menerima dan memberikan sokongan kepada parti yang mewakili kerajaan.
Beliau berkata rakyat secara keseluruhanya mengharapkan politik yang stabil agar pembangunan dapat terus dirancang dan dilaksanakan demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Sumber: UtusanBorneoSabah
0 comments: