Menterinya Ewon Benedick berkata, perkara itu adalah antara fokus utama kementerian itu , selain membangunkan kemudahan infrastruktur lain seperti jalan raya luar bandar, bekalan elektrik dan air luar bandar.
“Selain menyediakan kemudahan infrastruktur luar bandar dan kemudahan-kemudahan lain, kita juga komited untuk meningkatkan sumber pendapatan golongan wanita dan ibu di luar bandar.
Saya faham keperluan meningkatkan pendapatan golongan wanita luar bandar, sebab itu saya memberi sokongan penuh kepada pembangunan wanita dan kaum ibu di luar bandar,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan Kampung Kiau 2018, dekat sini semalam.
Sementara itu, Ewon yang juga AhIi Dewan Undangan Negeri Kadamaian turut memuji usaha Koonduan Kiau Nuluh Enterprise (KKNE) yang diterajui golongan wanita dan kaum ibu di kampung itu atas kejayaan mempelbagaikan produk berasaskan nanas.
“Kita telah melihat usaha dan komitmen golongan wanita dan ibu-ibu di kampung ini dalam mengeluarkan produk berasaskan nanas seperti Jem Nanas, Chutney Nanas, Chutney Bilis dan Jus Nanas.
Sebagai wakil rakyat kawasan Kadamaian dan menteri yang bertanggungjawab dalam pembangunan luar bandar, saya ingin melihat aktiviti mereka dapat diperkembang atau diperkasakan untuk meningkatkan lagi sumber pendapatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau telah menyumbangkan RM5,000 iaitu peruntukan titik sentuhan kepada KKNE sebagai sokongan terhadap usaha wanita kampung berkenaan.
“Kita mahu penduduk luar bandar bukan sahaja golongan wanita tetapi keseluruhan masyarakat kampung supaya dapat mencipta pekerjaan atau merebut peluang perniagaan yang ada di kampung sendiri untuk meningkatkan sumber pendapatan,” katanya.
Sumber: Bernama
0 comments: