Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersama pihak polis telah menahan tujuh orang termasuk dua wanita dipercayai sebagai ejen kad pengenalan palsu dalam satu operasi khas di sekitar bandar ini, kelmarin.
Ketua Pengarah JPN Malaysia Mohd Yazid Ramli berkata, bertindak atas maklumat risikan, Operasi Khas JPN telah dijalankan pada Jumaat di dua premis di sekitar bandar Sandakan.
“Operasi khas ini diadakan untuk menahan dalang dan ejen yang disyaki terlibat dalam pengeluaran kad pengenalan palsu di sekitar daerah ini,” katanya.
Beliau menambah operasi berkenaan telah dilaksanakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara bersama PDRM disertai oleh 12 anggota dan pegawai Penguat Kuasa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan, JPN Ibu Pejabat dan JPN Sabah yang diketuai Mohamad Yusri Hashim, serta enam orang pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.
Menurutnya, operasi bermula lebih kurang jam 9.10 malam dan berakhir kira-kira jam 1 pagi.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, JPN dan PDRM telah berjaya menahan dua wanita yang disyaki bergiat aktif menjadi ejen kepada sindiket pengeluaran kad pengenalan palsu di daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Mohd Yazid memberitahu, risikan dan pemerhatian ke atas aktiviti kedua-dua wanita tersebut telah dijalankan selama dua minggu yang membawa kepada kejayaan penahanan ejen ini.
“Kedua-dua wanita tersebut yang masing-masing berumur 25 dan 48 tahun dipercayai aktif memainkan peranan sebagai ejen untuk mencari pelanggan atau warga asing yang berminat untuk mendapatkan kad pengenalan palsu untuk digunakan sebagai pengenalan diri dengan bayaran sebanyak RM6,000 dan kedua-dua mereka turut didapati menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri mereka,” katanya.
Beliau menegaskan pemeriksaan terperinci di premis kediaman dua wanita terbabit akhirnya membongkar kegiatan mereka berikutan penemuan pelbagai dokumen meragukan termasuk gambar-gambar individu serta salinan kad pengenalan yang telah dipalsukan, beberapa sijil kelahiran milik individu yang tidak dikenali serta dua unit komputer riba yang disyaki digunakan dalam aktiviti pemalsuan kad pengenalan ini.
“JPN bersama PDRM juga telah menyita sebuah kereta Perodua Myvi milik salah seorang wanita tersebut yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pemalsuan kad pengenalan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut ke atas semua penghuni kediaman itu, JPN juga berjaya menahan lima orang yang terdiri tiga lelaki dan dua wanita berumur antara 23 hingga 57 tahun yang menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri, disyaki turut diperolehi dengan harga RM6,000 daripada kedua-dua ejen wanita tersebut.
“Hasil siasatan ke atas kesemua tujuh orang yang ditahan ini mendapati kesemua mereka mengaku berasal dari Bone, Sulawesi Selatan, Indonesia,” katanya.
Mohd Yazid berkata kedua-dua wanita yang disyaki sebagai ejen itu disiasat mengikut Peraturan 25 (1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) manakala lima orang lagi disiasat di bawah peraturan yang sama kerana menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih dari tiga tahun atau denda tidak lebih daripada RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Selain daripada rampasan kad pengenalan palsu yang digunakan, JPN juga berjaya mengesan lesen memandu JPJ yang turut dipalsukan serta beberapa kad ATM dan buku akaun bank,” katanya.
Ketua Pengarah JPN menegaskan JPN akan berterusan melakukan risikan serta pemantauan bagi mengesan ejen serta sindiket pengeluaran kad pengeluaran palsu bagi melumpuhkan aktiviti mereka bagi mengatasi kes-kes penggunaan kad pengenalan palsu dalam kalangan warga asing di negara ini.
“Operasi ditamatkan kira-kira jam 1.00 pagi tanpa berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini,” katanya.
Sumber: utusan-borneo
0 comments: