21 April 2015

Jabatan Pendaftaran Negara perkasa kerjasama banteras pemalsuan dokumen




Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan terus memperkasa kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pertubuhan bukan kerajaan dan jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK) dan rakyat dalam memerangi aktiviti pemalsuan dan salah guna dokumen.

Ketua Pengarah JPN Datuk Sulaiman Keling berkata pemerkasaan operasi penguatkuasaan melalui 'sinergi pelbagai sektor' adalah penting untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terjamin.

"Keberkesanan dalam melaksanakan penguatkuasaan ini akan menjadi suatu pencegahan terhadap kecenderungan untuk melakukan penipuan yang kian meruncing dewasa ini," katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JPN 2014 di Putrajaya hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Alwi Ibrahim dalam ucapannya pula mengingatkan warga kerja KDN supaya mengutamakan integriti kerana mereka banyak terlibat mengendalikan urusan berkait rapat dengan keselamatan negara.

"Semua warga kerja JPN tidak kira peringkat perlulah berusaha untuk meningkatkan aspek integriti masing- masing demi menjaga kewibawaan KDN," katanya.

Pada majlis itu, seramai 345 warga kerja JPN terdiri daripada 20 pegawai daripada kumpulan pengurusan dan profesional dan 325 lagi daripada kumpulan pelaksana menerima APC.


Sumber:  Bernama


0 comments: