25 Mac 2015

Mykad Dijual RM8,000 hingga RM10,000 setiap satu...




Sama tetapi tidak serupa,” demikian penjelasan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri, Ismail Ahmad berhubung isu kad pengenalan palsu yang dikesan digunakan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

Beliau memberitahu, kad pe­ngenalan palsu yang berjaya dikesan dalam operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Maj­lis Ke­selamatan Negara (MKN) itu bukan diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara.

Sebaliknya kad-kad pengenalan itu benar-benar palsu dan diperoleh daripada sindiket di luar yang dijual melalui orang tengah

“Sepanjang Januari hingga Mac tahun ini, kita berjaya mengesan enam pemegang kad pengenalan palsu di sekitar Kota Kinabalu.

“Kesemua mereka telah dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 25, Akta Pendaftaran Negara 2007 yang sabit kesalahan penjara dua tahun dan denda RM30,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terbaharu beliau berkata, kerjasama yang terjalin antara jabatan itu dengan Jabatan Imigresen berjaya mengesan salah seorang warga asing yang menggunakan kad pengenalan palsu cuba membuat passport perjalanan warganegara Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, hasrat lelaki berkenaan tidak berjaya dan ditahan pasukan polis.

Selain kad pengenalan tambah Ismail, pihaknya mengesan kad pengenalan bagi penduduk bermastautin berwarna merah turut dipalsukan.

Kata beliau, hasil siasatan pihak­nya, kad pengenalan tempatan (berwarna biru) dan kad pengenalan penduduk bermastautin dijual kepada pemegang dengan harga RM8,000 hingga RM10,000 setiap satu.

Ditanya sama ada pihaknya mengesan sindiket yang menyediakan serta menjual kad pengenalan palsu itu, beliau berkata, perkara itu gagal dikesan Jabatan Pendaftaran Negara mahupun PDRM.

“Hal demikian kerana apabila soal siasat dilakukan ke atas peme­gang kad pengenalan palsu ini, mereka memaklumkan membeli dokumen itu daripada orang tengah dan hanya pernah bertemu sekali sahaja iaitu pada urusan jual beli.

“Perkara ini menyebabkan kita sukar untuk membantu pasukan keselamatan seperti PDRM untuk mengesan sindiket yang bertanggungjawab menyedia dan menjual dokumen pengenalan diri negara kepada warga asing,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menafikan penulisan sebuah akhbar tempatan mendakwa daerah Keningau merupakan daerah tertinggi dicatatkan memiliki kad pengenalan palsu.

Selain itu, Ismail menasihati semua syarikat terutama syarikat pengawal keselamatan agar membuat semakan dengan jabatan itu bagi mengetahui kesahihan identiti pengawal keselamatan sebelum mengambil mereka bekerja.


Sumber: utusan-online



0 comments: