Sebanyak 15,039 kes denggi direkodkan sejak awal tahun sehingga 7 Februari lepas, meningkat 59% atau 5,586 kes berbanding 9,453 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia melibatkan 44 kematian bagi tempoh berkenaan berbanding 17 bagi tempoh sama dalam 2014.
"Bagi 2015, kes denggi didapati meningkat setiap minggu dan pada minggu kelima (1 hingga 7 Februari) sahaja, 3,037 kes denggi dengan lapan kematian dilaporkan," katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya, 2 negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Pahang dengan 40 kes (60.6%) dan Kedah dengan 4 kes (19%).
Katanya, analisis Kementerian Kesihatan menunjukkan 166 daripada 269 kawasan panas masih mempunyai kadar pembiakan nyamuk Aedes lebih satu peratus.
"Situasi ini sangat kondusif untuk penyebaran virus denggi terus berlaku disebabkan nyamuk Aedes," kata Dr Noor Hisham.
Beliau menambah 61% daripada tempat pembiakan Aedes didapati berlaku di kediaman, dan ini memerlukan aktiviti pembersihan dilakukan setiap minggu.
Sumber: Bernama
0 comments: