09 Disember 2014

Belia perlu elak anasir negatif supaya bijak menilai agenda kemajuan negara


Datuk Samsudin Yahya semasa Lawatan Kerja ke Pulau Sanghai, Batu Sapi


Rakyat terutama golongan belia di negeri ini diingatkan supaya bijak menilai dan menetapkan pendirian terhadap isu semasa agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir negatif yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Samsudin Yahya berkata, perkara itu penting kerana generasi muda merupakan aset yang bakal menerajui dan meneruskan agenda kemajuan, pembangunan serta kesejahteraan negara kelak.

“Pelbagai isu yang disebarkan kini kebanyakkannya telah diputarbelitkan oleh pihak tertentu hingga menarik perhatian golongan muda.

“Apa yang membimbangkan kita ialah golongan muda ini cepat mudah terpengaruh tanpa menyelidik isu tersebut dari semua aspek bagi memastikan fakta yang disebarkan itu benar.

“Harus diingat bahawa segala perancangan kerajaan adalah demi untuk memajukan negara dalam mencapai negara maju yang akhirnya akan dinikmati oleh golongan muda kelak,”
katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Surau Kampung Pulau Shanghai, di sini, semalam.

Sebelum ini penduduk kampung berkenaan terpaksa ‘menumpang’ untuk menunaikan ibadah seperti solat berjemaah dan solat Jumaat ekoran ketiadaan surau yang besar.

Kini penduduk di kampung tersebut boleh merasa lega apabila surau yang dilengkapi ruang solat besar dan selesa dengan anggaran kos RM30,000 dibina di kampung berkenaan.

Samsudin menambah, beliau optimis dan terbuka dengan pandangan serta ideologi politik setiap penduduk di kawasan itu.

Bagaimanapun beliau yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi berkata, semangat patriotik tinggi dalam mengekalkan kemakmuran dan keharmonian perlu menjadi keutamaan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan golongan belia agar memahami konsep sebenar jihad mengikut Islam sebelum membuat keputusan menyertai kumpulan pejuang di Syria.

“Saya berharap mereka juga tidak mudah terpengaruh dengan dakyah jihad di media sosial kerana perkara itu adalah taktik untuk meme­rangkap golongan muda menyertai pepera­ngan atas dasar jihad,” ujarnya.


Sumber:  utusan-0nline



0 comments: