Datuk Samsudin Yahya menyampaikan Bantuan Persekolah Yayasan Sabah
Ibu bapa diingatkan agar tidak menjadikan kemiskinan sebagai alasan mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak dalam mendapatkan pendidikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Samsudin Yahya
berkata, alasan lapuk seperti itu hanya akan menjadikan masa depan
anak-anak bertambah malap tanpa memiliki asas pendidikan yang kukuh.
Katanya, pemikiran seperti itu harus dikikis dalam diri ibu bapa kerana golongan muda pada masa ini mempunyai potensi tersendiri, selain keutamaan harus diberikan kepada mereka yang berada di kawasan luar bandar.
"Kita mahu ibu bapa mengambil berat mengenai soal penting seperti ini. Jangan ambil mudah kerana kita tidak tahu sejauh mana kemampuan anak-anak ini boleh dikembangkan.
"Kita di pihak kerajaan mempunyai banyak bantuan yang boleh digunakan bagi memastikan masalah keciciran anak-anak ke sekolah dapat diatasi," katanya ketika
berucap dalam majlis penyampaian bantuan persekolahan daripada Yayasan Sabah kepada 20 pelajar sekolah di Kampung Tronglit, dekat sini semalam.
Samsudin yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi berkata, dia berharap semua ketua kampung, ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) serta ahli UMNO bergerak aktif bagi mencari keluarga yang dikategorikan sebagai miskin tegar.
Jelasnya, ia bertujuan memastikan semua masyarakat terutamanya di luar bandar mendapat pembelaan yang berterusan tanpa mengira kaum mahupun perbezaan fahaman politik.
"Kita perlu sedar bahawa golongan seperti ini memerlukan pembelaan yang sewajarnya. Masyarakat tidak seharusnya mengamalkan tunggu dan lihat tetapi bergerak aktif mencari golongan miskin.
"Pada masa yang sama, kita mahu supaya mereka yang menerima bantuan menjadikan ia sebagai satu pembakar semangat bagi mengeluarkan diri daripada kepompong kemiskinan," katanya.
Hadir sama; PPM N. 43 Sekong Zantapha Zainal Abidin, CDO Sekong Khatijah Ebrahim dan Penerangan UMNO Batu Sapi Hussin Nasib.
Sumber: utusanonline
0 comments: