Photo Sekitar Persidangan DUN Sabah
Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah kelmarin meluluskan rang undang-undang untuk meminda Enakmen Pemimpin-Pemimpin Kemajuan Rakyat kepada Enakmen Pemimpin Pembangunan Masyarakat.
Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah Datuk Arifin Arif berkata pindaan itu dibuat melalui penjenamaan semula Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) untuk merubah atau memperbaharui hala tuju dan objektif organisasi sedia ada agar menjadi lebih baik tanpa mengabaikan tujuan asal UPKR.
“Dengan penjenamaan semula ini, aktiviti dan program UPPM akan lebih khusus dan fokus merangkumi perkara-perkara yang menyentuh kestabilan politik; penggerak hala tuju pembangunan dan kemajuan negeri; dan keharmonian dan kesejahteraan hidup.
“UPPM akan lebih fokus untuk memikul tanggungjawab selaras dengan teras utama yang disebut tadi dan mengambil kira kehendak kerajaan, rakyat serta dapat memahami cita rasa rakyat, minda rakyat dan dapat mendengar denyutan nadi rakyat, seterusnya dapat merealisasikan Gagasan 1Malaysia yang berpaksikan prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang itu.
Arifin berkata dengan perubahan UPKR kepada UPPM, visi dan misi organisasi turut diperbaharui dan akan menjadi tulang belakang bagi mencapai hala tuju dan sasaran yang dikehendaki.
Beliau berkata visi UPPM ialah menjadi jentera pentadbiran politik berkesan dan mampan menjelang 2018, manakala misinya merangkumi tiga perkara iaitu menggerakkan penyertaan dan sokongan pada rakyat menjayakan pelaksanaan hala tuju dan pembangunan kerajaan negeri; melaksanakan program transformasi selaras dengan prinsip Gagasan 1Malaysia; dan membina kerjasama pintar dan kolaborasi dalam perancangan, pelaksanaan serta penilaian program pentadbiran politik yang berkesan dan mampan.
Ketika membahaskan rang undang-undang itu, Datuk Saddi Abd Rahman (BN-Sukau)berharap penjenamaan semula UPKR kepada UPPM itu akan mentransformasikan organisasi itu secara keseluruhan dan bukan pada nama sahaja.
Beliau juga berharap penjenamaan semula itu akan memperkasakan UPPM, terutama dalam menyediakan kemudahan mencukupi seperti kenderaan sesuai untuk kawasan luas dan berbukit bukau seperti Kinabatangan bagi membolehkan UPPM melaksanakan tugas kepada rakyat.
Datuk Rubin Balang (BN- Kemabong) pula berkata penjenamaan semula itu diharapmemberi nafas baharu kepada UPPM untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti kerja.
Sumber: New Sabat Times
0 comments: