26 Jun 2014

Pecat ketua kampung, pengerusi JKKK sorok PTI - Dr. Maximus Ongkili


Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili meminta pihak berkuasa memecat ketua kampung serta pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang didapati bersekongkol atau melindungi pendatang tanpa izin (Pati), termasuk pengganas di Sabah dalam tempoh 24 jam.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan kes suspek pengganas Sulu yang bersembunyi di sekitar Kunak semalam tidak berulang, terutama di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

"Kes seperti ini tidak begitu banyak kerana pihak unit pemimpin kemajuan rakyat sentiasa memantau, dan mana-mana yang bersuhabat akhirnya akan diketahui awam.

"Apa yang penting ialah apabila ada kes terjadi, tindakan tegas harus diambil terhadap mereka, lucutkan jawatan mereka dalam tempoh 24 jam, kalau tidak, mereka akan terus berpura-pura," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Komuniti Belia Esszone Daerah Kota Marudu di dewan komuniti di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek dan Pegawai Daerah Kota Marudu Sualim Sanan.

Ongkili, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, berkata demikian ketika diminta mengulas bentuk tindakan yang perlu diambil dalam kes itu.

Dalam insiden itu, enam suspek pengganas Sulu, termasuk seorang wanita, ditahan Cawangan Khas Bukit Aman dan pasukan Esscom dalam operasi khas sekitar Kunak di pantai timur Sabah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dipetik sebagai berkata tangkapan terbaru itu adalah susulan insiden pencerobohan di Lahad Datu pada Februari tahun lepas.

Ongkili berkata ketua kampung dan pengerusi JKKK perlu bertindak sebagai 'pemain utama' dalam menangani masalah PATI di Sabah, terutama untuk menyalurkan maklumat mengenai kehadiran mereka ataupun penjenayah di kawasan masing-masing.

"Mereka juga perlu menasihati penduduk kampung supaya tidak melindungi Pati atau bersubahat dengan Pati," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau menyambut baik usaha Esscom mengadakan Program Komuniti Belia Esszone bagi mempertingkat kefahaman semua lapisan masyarakat berhubung peranan dan tanggungjawab Esscom.


Sumber   Bernama

0 comments: