Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) menetapkan kadar zakat fitrah yang wajib dibayar setiap individu Muslim yang bermastautin di Sabah pada tahun ini ialah RM7.
Pengerusi Muis Datuk Mohd Suhaili Said berkata kadar berkenaan
ditetapkan berdasarkan satu gantang Baghdad atau bersamaan 2.7kg beras
yang dimakan oleh majoriti penduduk di Sabah.
"(Kutipan) Zakat fitrah pada tahun ini kita unjurkan daripada RM8.2
juta (tahun lalu) kepada RM8.5 juta iaitu anggaran pertambahan
RM300,000," katanya ketika mengumumkan kadar zakat fitrah di Wisma Muis
di sini hari ini.
Berdasarkan unjuran berkenaan Mohd Suhaili berkata pihak Muis akan
berusaha meningkatkan kesedaran dan pengetahuan umat Islam di Sabah
mengenai kewajipan membayar zakat serta fungsinya dalam sistem sosial
masyarakat Islam termasuk melalui khutbah yang bakal disampaikan di
masjid di seluruh Sabah.
Menurut Mohd Suhaili membayar zakat merupakan satu daripada bentuk
penyucian harta yang dimiliki umat Islam termasuk pemastautin di Sabah
dan jika ini difahami maka lebih ramai umat Islam akan menunaikan
kewajiban mereka membayar zakat.
"Mereka (umat Islam bermastautin) yang bekerja di Sabah melebihi enam
bulan atau setahun sepatutnya membayar zakat kepada amil-amil Muis atau
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (Jheains) yang wujud di kawasan
masing-masing," katanya.
Mohd Suhaili berkata rakyat asing beragama Islam yang bekerja atau
berniaga di Sabah sepatutnya membayar zakat di Sabah kerana di negeri
itulah mereka mencari rezeki.
Katanya pada tahun ini Muis melantik 36 ketua amil dan 1,935 wakil amil di seluruh Sabah.
Mohd Suhaili juga berkata unjuran kutipan semua jenis zakat di Sabah
tahun ini ialah RM55 juta berbanding RM49.2 juta yang dikutip pada tahun
lepas.
Pada tahun ini juga katanya, Muis akan mengagihkan wang zakat berjumlah
RM7.39 juta kepada 36,996 golongan asnaf termasuk fakir miskin serta
mualaf dengan setiap asnaf menerima RM200.
"Kita sudah ada beberapa mekanisme dan pendekatan yang dirancang
Bahagian Zakat bagaimana untuk meningkatkan kutipan zakat terutama zakat
perniagaan," katanya.
Sumber: bernama
0 comments: