Kementerian Pendidikan Malaysia menyediakan peruntukan sejumlah RM60 juta bagi membina sebuah bangunan yang akan menempatkan Kolej Vokasional Sandakan di Hab Pendidikan Sandakan, Batu 10, Jalan Sungai Batang, dekat sini.
Mengumumkan demikian di sini, kelmarin, menterinya Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin berkata kementerian beliau pada dasarnya bersetuju untuk pembinaan kolej yang baru ini memandangkan bangunan asalnya yang terletak di Batu 1.5 hanya berkeluasan 0.96 hektar sekali gus tidak lagi sesuai untuk menampung bilangan pelajar yang semakin ramai termasuk dari segi keperluan dan prasarana semasa.
Beliau berkata, kolej berkenaan memerlukan sebuah kawasan yang lebih luas dan pihak kementerian sudah pun mengenal pasti tapak seluas 40 ekar di Hab Pendidikan yang turut melibatkan kerjasama daripada Yayasan Sabah (YS).
Katanya, pihak YS akan menyerahkan kawasan tapak tanah walaupun dengan sedikit bayaran namun kementeriannya akan merealisasikan perancangan untuk mewujudkan sebuah kolej seumpamanya menjadi kenyataan.
“Kita akan tambah peruntukan dalam kementerian ini bagi membantu pendidikan negara termasuklah membina Kolej Vokasional Sandakan yang baru memandangkan bangunan asalnya cuma berkeluasan 4 ekar, tidak cukup besar.
“Kita sudah pun berbincang dengan pihak-pihak berkaitan selepas mendapati keadaan bentuk bangunan yang memerlukan penambaikan termasuk membina sebuah bangunan yang baru nanti,” jelasnya.
Muhyiddin berkata demikian ketika berucap sewaktu mengadakan lawatan ke kolej itu.
Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Chin; Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional kementerian, Datuk Ahmad Tajuddin Jab; Timbalan Pengarah Kementerian Pelajaran, Datuk Shufaat Tumin dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah, Datuk Jame Alip.
Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan terdapat keperluan bagi memindahkan kolej tersebut berikutan tempat sedia ada berhadapan dengan kekangan dan sering dilanda masalah bencana alam.
Malahan, ujarnya, selain kawasan kolej yang terhad, kolej juga sering mengalami bencana alam seperti banjir serta tanah runtuh yang boleh mengganggu proses pembelajaran serta keselamatan pelajar.
“Jadi, kerajaan bersetuju untuk membina penempatan baru yang lebih sesuai dan terletak dalam kawasan Hub Pendidikan Sandakan di Sungai Batang, Batu 10 ini,” katanya sambil menambah bahawa setelah berbincang dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa maka pihak kerajaan bersetuju membina sekolah baru tersebut.
Kata beliau, penempatan baru membolehkan pihak kolej dapat membina lebih banyak kemudahan lengkap seperti padang permainan dan asrama yang mana kerja-kerja pembinaan dijangka mengambil masa sekitar tiga tahun disiapkan.
Dalam pada itu, katanya lagi, kerajaan juga bersetuju memperuntukan RM1 juta lagi bagi kerja menaik taraf dan membaik pulih keadaan di Kolej Vokasional Sandakan yang sedia ada sekarang sebelum ia berpindah ke kawasan baru.
“Ini penting, demi memastikan kejadian tidak diingini seperti tanah runtuh dan banjir berulang yang sekali gus boleh mengganggu proses pembelajaran,” jelasnya.
Sumber: newsabahtimes
0 comments: