23 Mac 2013

2018 - Malaysia boleh capai negara maju.




Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diperkenalkan kerajaan telah menghasilkan kesan di luar jangkaan, dan Malaysia berpotensi mencapai status negara maju seawal 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala, berkata dalam tempoh tiga tahun iaitu dari 2009 sehingga akhir tahun lalu, Pendapatan Negara Kasar (PNK) perkapita negara ini melonjak 48.8 peratus kepada AS$9,970 (RM30,488) daripada AS$6,700 (RM20,489).

"Jika momentum itu dapat dikekalkan kita akan dapat mencapai status negara berpendapatan tinggi seperti yang ditakrifkan oleh Bank Dunia, mungkin seawal 2018” Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdasna Menteri.

Capai sasaran lebih awal Beliau berkata, jika momentum pertumbuhan sebegitu dapat dikekalkan dan tidak berlaku perkara luar jangkaan, negara ini berpotensi mencapai PNK perkapita sebanyak AS$15,000 (RM45,870) dua tahun lebih awal daripada 2020 seperti yang disasarkan.

“Malaysia kini berada di landasan kukuh untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi. Jika dilihat PNK perkapita pada 2009, iaitu setahun sebelum ETP dilaksanakan hingga tahun lalu, ia mencatatkan kenaikan tinggi iaitu 49 peratus.

“Jika momentum itu dapat dikekalkan kita akan dapat mencapai status negara berpendapatan tinggi seperti yang ditakrifkan oleh Bank Dunia, mungkin seawal 2018,”
katanya dalam temubual dengan wartawan baru-baru ini.

Idris berkata, sejak pelaksanaan ETP, pendapatan isi rumah juga menunjukkan peningkatan ketara apabila Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (PPIR) negara tahun lalu, meningkat kepada RM5,000 daripada hanya RM4,025 pada 2009.

Kadar kemiskinan negara pada 2012 adalah 1.7 peratus, jauh lebih rendah berbanding 60 peratus pada tempoh awal kemerdekaan.

Sementara itu, Idris berkata, pengenalan gaji minimum yang berkuat kuasa awal tahun ini dengan menetapkan pembayaran minimum RM900 bagi pekerja di Semenanjung dan RM800 bagi pekerja di Sabah dan Sarawak, dijangka mampu meningkatkan pendapatan 3.2 juta rakyat yang berada di bawah garis kemiskinan.

“ETP perlu untuk mengubah ekonomi daripada ekonomi berpendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi yang inklusif dan mapan.

“Inklusif bermakna ia memberi manfaat kepada seramai mungkin rakyat iaitu semua masyarakat termasuk rakyat luar bandar, bandar, wanita, golongan miskin, Bumiputera, bukan Bumiputera dan sebagainya.

“Kemapanan bermakna bukan pertumbuhan kukuh untuk setahun saja tetapi untuk satu tempoh yang lama,”
jelas beliau.

ETP yang dilaksanakan kerajaan banyak memberi fokus kepada projek permulaan (EPP) yang memiliki kesan penggandaan yang besar.

Idris berkata, setakat ini ada 152 EPP membabitkan 149 projek yang telah diumumkan dengan jumlah pelaburan dijanjikan sebanyak RM211.34 bilion.

Pelaburan itu, katanya, dijangka menjana PNK berjumlah RM135.64 bilion pada 2020 dan mewujudkan 408,443 peluang pekerjaan.

Pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, kata Idris, membolehkan kerajaan meraih pendapatan tertinggi dalam sejarah iaitu kira-kira RM207 bilion tahun lalu.


Sumber: Berita Harian




0 comments: