13 Mei 2022

KPLB Sabah lancar OACP, budayakan nilai integriti tinggi



Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah melancarkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) bagi tempoh tempoh lima tahun sehingga 2026 yang turut melibat Pejabat-Pejabat Daerah seluruh Sabah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, pelan itu merangkumi tiga strategi; empat objektif strategik dan 17 inisiatif yang amat signifikan dalam mencerminkan harapan rakyat untuk membentuk sebuah negeri yang bebas rasuah.

Katanya, selain itu pelan itu juga akan dapat membudayakan warga KPLB Sabah kepada ketelusan; akauntabiliti; dan nilai integriti yang tinggi.

“Pelan ini juga dapat membantu menangani isu governans, integriti dan anti rasuah dalam kalangan warga kementerian dan pejabat-pejabat daerah di samping undang-undang yang membolehkan tindakan punitif diambil terhadap pegawai-pegawai yang sengaja menyebabkan ketirisan, pemborosan atau pembaziran dana kerajaan demi kepentingan peribadi.

“Berdasarkan data tangkapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), telah menunjukkan penurunan trend rasuah dalam tempoh tiga tahun yang lalu iaitu pada 2019 hingga 2021.

“Amalan rasuah melibatkan sektor awam pada tiga tahun lalu juga telah menurun daripada 525, 467 serta 411 masing-masing pada 2019, 2020 dan 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran OACP dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri KPLB Sabah di sini semalam.

Jahid berkata, penurunan trend rasuah ini tidak begitu signifikan dan tidak dapat dinafikan gejala ini masih banyak berlaku.

Katanyta, penjawat awam adalah diantara golongan yang berisiko tinggi terhadap kesalahan rasuah khususnya bagi mereka yang terlibat dalam pelaksanaan keputusan dan perolehan kerajaan.

“Sekiranya seseorang pegawai mempunyai nilai integriti yang tinggi dan keikhlasan dalam menjalankan amanah yang diberi, maka risiko terdedah kepada kesalahan rasuah dapat dikurangkan sekali gus memberi persepsi yang baik dalam kalangan masyarakat terhadap penjawat awam.

“Disebabkan itu, kementerian sangat berharap dengan penubuhan dan pelancaran pelan ini imej dan kualiti perkhidmatan awam negeri amnya dan kementerian serta pejabat-pejabat daerah khususnya dapat dimantapkan ke arah menjadikan penjawat awam yang efisien dan responsif dalam memberikan perkhidmatan kelas pertama kepada pelanggan,” katanya.


Sumber:  Media Sabah



31 Mac 2022

Teruskan Pembinaan CIQ Di Kalabakan, Jangan Halang Ekonomi Sabah Berkembang – Khairul Firdaus



Ketua Penerangan BERSATU Negeri Sabah, Khairul Firdaus Datuk Akhbar Khan berkata pelaksanaan pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Kalabakan, Sabah perlu diteruskan kerana kewujudan pusat itu mampu meningkatkan dan memperluaskan peluang penjanaan ekonomi bagi negeri Sabah dan penduduk setempat.

“Apabila keputusan dibuat oleh Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan tindakan menarik balik peruntukan bagi pembinaan CIQ itu bagi tahun ini dan tahun hadapan, ia seolah-olah menghalang ekonomi negeri Sabah daripada berkembang pesat.

“Ini kerana pembinaan CIQ membawa banyak faedah terutama darpadai segi peluang perluasan ekonomi penduduk setempat, contohnya dapat dilihat dengan kewujudan CIQ Bukit Kayu Hitam, Kedah dan CIQ di Johor,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Khairul Firdaus, keputusan Kerajaan Persekutuan itu amat mengecewakan rakyat dan seluruh penduduki Sabah.

“Perkara ini amat mengecewakan, sebab kita sedar akan potensi yang bakal dicipta oleh CIQ tersebut, kerana kita tahu negara jiran kita sudah memindahkan ibu negara mereka ke Kalimantan yang mempunyai jumlah penduduk sekitar 20 juta hingga 25 juta, dan mereka juga sudah menyiapkan segala prasarana yang diperlukan,” katanya.

Beliau yang juga yang Ketua BERSATU Bahagian Batu Sapi turut menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan perlu meneliti semula perkara ituu dan tidak mensia-siakan peluang yang bakal wujud kelak.

“Tidak ada satu alasan munasabah pun untuk tidak meneruskan projek pembinaan CIQ ini, kerana pembinaannya akan mewujudkan pelbagai sektor dan membuka peluang-peluang baharu, baik dari segi keperluan tenaga kerja, perkembangan sektor pelancongan, peluang ekonomi dan perdagangan bukan sahaja kepada Sabah tetapi juga kepada Malaysia umumnya,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Khairul Firdaus turut menyeru kepada Kerajaan Persekutuan untuk telus dan berlaku adil kepada rakyat Sabah kerana rakyat negeri ini memerlukan usaha-usaha dan suntikan semangat serta dana untuk membangun dan berkembang maju.


Sumber:  Sabah Gazette


29 Mac 2022

Usaha tingkatkan industri sarang burung walit perlu dipuji


Usaha syarikat AMG Advance Profitable Enterprise, AMG Group dan Persatuan Penternak Sarang Burung Walit Sabah perlu dipuji kerana berjaya melestarikan industri sarang burung walit di negeri ini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr. Normah Yusop berkata AMG Group telah memiliki kilang pemprosesan ‘Primary Processing Establishment Edible Birdnest Raw–Unclean’ (PPE RBN RUC).

Katanya, syarikat itu juga mempunyai kelayakan sijil kilang lesen mengeksport sarang ke negara China yang akan materialise dalam masa terdekat ini.

“Kilang Pemprosesan Sarang Burung AMG di Sandakan juga turut mendapat ‘Good Veterinary Hygiene Practuce’ (GVHP).

“Selain itu, syarikat ini dalam proses menaik taraf ke persijilan Veterinary Health Mark (VHM) setaraf dengan ‘Hazard Analysis Critical Control Point’ (HACCP) bagi persiapan sebarang keperluan semasa eksport dan import industri sarang burung,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pelancaran Pengembangan Projek Kumpulan AMG Sempena Ulangtahun Syarikat AMG ke-10 di sini kelmarin.

Normah berkata kilang PPE ini mendapat kerjasama daripada Persatuan Penternak Sarang Burung Walit Sabah dan pihak marketing syarikat AMG Group (Malaysia-China).

“Hubungan itu dapat membentuk kerjasama yang mantap serta perkongsian teknologi dan maklumat pemasaran sesama pengusaha bumiputra.

“Ia sekaligus dapat mengatasi cabaran dan kekangan industri semasa ke arah menerajui pasaran global produk sarang burung walit terutamanya dalam kalangan pengusaha bumiputera,” katanya.

Dari segi kualiti sarang burung walit di Sabah, Normah menjelaskan pihaknya mempunyai Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MYGAP) serta VHM

“Skim itu sentiasa membuat program persampelan dari semasa ke semasa bagi memastikan ia mempunyai ‘science based evidicent’ jika diperlukan oleh mana-mana pihak.

“Ini selaras dengan syarat yang ditetapkan oleh MYGAP kerana kita memastikan parameter sekitar rumah burung walit dipasang pagar bagi memastikan ada biosecurity bagi mengelakkan sebarang penyakit seperti selesema burung,” katanya.

Menurutnya, setakat ini tidak ada lagi kes selesema burung dilaporkan kerana ciri-ciri burung walit ini tidak memakan serangga yang berada di tanah.

Turut hadir, Penolong Pengarah Kanan DVS Wilayah Sandakan Dr. Debra George Epun @ Nurhidayah; Pengarah Project Financing AMG Advance Resources Datuk Seri Kit Lim dan Perunding Atasan & Kumpulan Pemasaran Sistem Bangunan Bersepadu Teknologi ICF Koto Asia International Sdn Bhd Datuk Mohd Azmi Dato Sri Haji Abdul Karim.


Sumder: Utusan Borneo Sabah


24 Mac 2022

Sabah beri keutamaan kampung belum ada bekalan elektrik menerusi BELB



Kerajaan Sabah akan memberi keutamaan kepada kampung-kampung yang belum mempunyai bekalan elektrik dan akan dilaksanakan menerusi program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Samad Jambri @ Jamri berkata, ianya akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bermula 2021 sehingga 2025.

“Berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi melalui sistem profail kampung, pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan membuat perancangan bagi tempoh lima tahun bermula 2021 sehingga 2025 dengan mensasarkan peratusan liputan bekalan elektrik mencapai 99.9 peratus menjelang akhir tahun 2025.

“Program cadangan BELB ini akan memberi manfaat kepada 318 kampung dan 16,464 buah rumah di negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (BN-Nabawan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disini hari ini.

Samad berkata, bagi daerah Nabawan, sebanyak 66 buah kampung telah dikenalpasti belum mempunyai bekalan elektrik melibatkan 982 buah rumah.

Katanya, senarai kampung ini telah diserahkan kepada KPLB Persekutuan melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) sebagai cadangan untuk dilaksanakan dalam RMKe-12.

“Manakala, bagi daerah Keningau sehingga kini sebanyak 111 kampung melibatkan 5,345 buah rumah telah dibekalkan elektrik melalui program BELB dan masih terdapat projek BELB di beberapa kampung yang masih dalam peringkat pelaksanaan yang dijangka siap pada pertengahan tahun 2022.

“Bagi kampung-kampung di DUN Liawan yang belum mempunyai bekalan elektrik sepenuhnya, di mana terdapat rumah-rumah yang tidak mempunyai bekalan elektrik kerana tidak termasuk/tertinggal dari projek BELB sebelum ini,” katanya.

Katanta, bekalan elektrik ke rumah tersebut boleh dipohon dengan mengemukakan permohonan ke pejabat SESB Keningau.

“Permohonan yang layak akan disambungkan bekalan elektrik melalui program rumah tertinggal menggunapakai peruntukan revolving fund yang disalurkan kepada SESB daripada KPLB Persekutuan,” katanya.

Sumber:  Media Sabah


08 Disember 2021

Kerajaan sedia pertimbang meminda Ordinan Pentadbiran Luar Bandar untuk perkasa tadbir urus JPKK

Kg. Keluarga


Kerajaan Negeri Sabah bersedia untuk mempertimbangkan pindaan Ordinan Pentadbiran Luar Bandar bagi memperkasakan tadbir urus Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, beliau akan meminta pegawai-pegawai kementerian untuk membuat kajian ke atas Ordinan Pentadbiran Luar Bandar memandangkan perkara tersebut perlu diberi perhatian.

“Kalau perlu, Jabatan Peguam Negara Sabah akan dilibatkan untuk membuat kajian-kajian … Kita pastikan apa-apa yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu tidak disentuh, malah kalau boleh, diperkuatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick semasa ucapan penggulungannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini,

Ewon bertanya samada Kerajaan Negeri bercadang dan bersetuju dengan pemindaan Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah agar tadbir urus JPKK lebih baik dan tidak terikut dengan rentak Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Ewon juga bertanya mengenai jumlah bayaran elaun JPKK yang dikurangkan kepada separuh iaitu RM15.5 juta untuk tahun 2022, berbanding RM30 juta pada tahun 2021.

Menurut Jahid, kementeriannya telah membuat pengiraan yang rapi berdasarkan kepada kuota yang ada.

“Berdasarkan kepada kuota yang ada, yang telah diberi lantikan dan kuota yang ada, tidak mencukupi untuk membayar elaun kepada semua JPKK yang telah dilantik dan bakal dilantik mengikut perancangan kita.

“Daripada 2,853 badan JPKK di Sabah, setakat ini yang telah dilantik ialah 2,392 orang JPKK, di mana masih ada sedikit lagi belum dilantik. Tapi dalam perkiraan kementerian, ianya memang cukup,” jelasnya.

Jahid juga menjelaskan bahawa kelewatan bayaran elaun JPKK antaranya disebabkan oleh kesilapan maklumat yang dibekalkan seperti nombor kad pengenalan, nombor akaun bank yang salah dan akaun bank milik orang lain.

“Ini menyebabkan bayaran tidak dapat diproses dan Kementerian saya terpaksa membuat pembetulan terlebih dahulu sebelum memproses semula,” ujarnya.


Sumber:  Nabalu News


21 Oktober 2021

Status Rakan Sekutu Sabah & Sarawak Akan Dikembalikan



Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) bersetuju kepada cadangan pindaan pada Perkara 1 (2) dan Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata keputusan tersebut dipersetujui semasa mesyuarat MKMA63, yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob yang berlangsung hampir tiga jam, kelmarin (Isnin).

“Pindaan ini akan mentakrif semula maksud Persekutuan,” katanya.

Cadangan tersebut telah dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang juga mengetuai Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu MKMA63.

Beliau mendedahkan pindaan tersebut berbeza berbanding usul kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2018, dan perbezaan utama dalam tambahan pindaan yang diusulkan ialah mentakrifkan semula ‘persekutuan’ dalam Perkara 160 (2).

“Pindaan ini akan menentukan status semua negeri di Malaysia sejajar dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, MA63 dan status setelah Singapura keluar pada tahun 1965,” jelas Wan Junaidi.

Maximus berkata, MKMA63 bersetuju agar cadangan pindaan rang undang-undang dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang.

“MKMA63 akan terus membincangkan perkara-perkara tertunggak dan memastikan hak rakyat Sabah dan Sarawak dipulihkan, terutamanya melalui jawatankuasa penyelesaian masalah di bawah MKMA63,” ujar Maximus.

Di samping itu, MKMA63 turut bersetuju memberi kuasa kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk mengeluarkan lesen untuk menangkap ikan laut dalam.

Dalam mesyuarat itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengemukakan kertas cadangan memohon persetujuan dari MKMA63 untuk memberi kuasa kepada Jabatan Perikanan di Sabah bagi mengeluarkan lesen kapal dan peralatan penangkapan ikan untuk tempat penangkapan ikan di Zon C, yang kini dikendalikan oleh jabatan di peringkat persekutuan.

“Pada awalnya cadangan tersebut diajukan oleh Kerajaan Negeri Sabah, tetapi Majlis (MKMA63) telah bersetuju agar cadangan itu dan diperluas ke Sarawak juga,” kata Maximus.


Sumber: Media Sabah