04 Mac 2021

Jangan bimbang, vaksin tidak memudaratkan: Hajiji




Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengingatkan rakyat Sabah supaya jangan bimbang dan terpengaruh dengan cerita yang mengatakan vaksin akan membawa mudarat.

Sebagai antara individu yang terawal menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNtech di Sabah, beliau meyakinkan suntikan berkenaan tidak sakit dan keadaannya sama seperti biasa.

Sehubungan itu, Hajiji tidak mahu ada rakyat yang menganggap suntikan vaksin akan membawa mudarat kerana perkara itu tidak betul.

"Vaksin ini melindungi kita dari jangkitan pandemik COVID-19 dan tidak payah dengar bermacam-macam cerita di luar sana.

"Semuanya berjalan baik dan penerima suntikan vaksin dapat satu perlindungan yang diyakini akan dapat melindungi kita semua," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.

Hajiji turut merasmikan Dewan Serbaguna Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah sebagai Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) COVID-19 Daerah Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, pihaknya berharap program imunisasi di Sabah berjalan lancar dan seluruh rakyat Sabah akan menerima vaksin bagi menangani masalah jangkitan COVID-19.

Menurutnya, kerajaan menyasarkan pemberian vaksin kepada seluruh rakyat Sabah dijangka sehingga penghujung tahun ini dan awal tahun depan.

Katanya, sebanyak 195 PPV disediakan di seluruh Sabah termasuk di kawasan pedalaman bagi mencapai lebih 95 peratus liputan pemberian imunisasi COVID-19.

Dianggarkan seramai 42,117 petugas barisan hadapan dikenal pasti sebagai penerima vaksin fasa pertama di negeri ini yang bermula 27 Februari hingga April 2021.

Bagi fasa kedua di Sabah yang bermula April hingga Ogos 2021, ia akan melibatkan warga emas berumur 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi yang mempunyai penyakit kronik.

Fasa ketiga akan melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas bermula Mei 2021 hingga Februari 2022.


Sumber:  Utusan Borneo Sabah


0 comments: