
Dr Mahathir berkata bagi mereka yang berusia bawah 60 tahun, taraf warganegara akan diberi tertakluk pada syarat-syarat yang ditetapkan termasuk lahir di Malaysia dan seorang daripada ibu bapa adalah warganegara Malaysia.
“Saya mahu umumkan keputusan yang dibuat semalam selepas perjumpaan dengan rombongan wakil masyarakat India.
“Kami berbincang manifesto janji Pakatan Harapan (PH) untuk menyelesaikan masalah kewarganegaraan kaum India yang memegang kad pengenalan merah iaitu seramai 3,407 orang, jadi mana-mana dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun, kita terus bagi kad biru,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas mengenai Senario dan Pengurusan Pekerja Asing di Malaysia di Bangunan Parlimen hari ini yang turut dihadiri timbalannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran.
Dr Mahathir berkata terdapat beberapa lagi syarat yang perlu dipatuhi untuk memohon taraf kewarganegaraan iaitu mereka perlu berada di Malaysia dalam tempoh 10 tahun terakhir dari 12 tahun mereka berada di negara ini dan boleh berbahasa Melayu.
“Untuk kelulusan dalam Bahasa Melayu, itu ‘simple’ sahaja kita buat. Jadi kalau mereka lulus kita boleh berikan kewarganegaraan,” katanya sambil menyatakan proses untuk mengeluarkan kad pengenalan biru itu mungkin mengambil sedikit masa.
Menyelesaikan isu kaum India yang tidak mendapat taraf kewarganegaraan dalam masa 100 hari terkandung dalam manifesto PH jika berjaya mengambil alih Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mei lepas.
Sumber: Bernama
0 comments: