29 Mei 2017

JKKK dan KK bantu Wakil Rakyat - Datuk Hj. Samsudin Yahya



Peranan JKKK dan Ketua Kampung ibarat komponen kepada sebuah jentera kepada kerajaan yang saling lengkap melengkapi.


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ketua Kampung perlu memainkan peranan lebih berkesan dalam membantu wakil-wakil rakyat menangani masalah penduduk di peringkat akar umbi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekong, Datuk Hj. Samsudin Yahya berkata, Pengerusi JKKK termasuk Ketua Kampung dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan bukan sahaja perlu mempunyai budaya kerja proaktif tetapi juga peka dengan setiap isu yang timbul di kalangan penduduk setempat.

Menurut beliau, mereka ini perlu menjadi mata dan telinga kepada wakil-wakil rakyat dengan mengumpul dan menyalur maklumat bagi membolehkan bantuan atau projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Adalah malang bagi seseorang wakil rakyat apabila mempunyai JKKK atau ketua kampung yang tidak mampu memainkan peranan sebagai mata dan telinga kepada mereka.

“Ini kerana wakil rakyat tersebut tidak mungkin mampu mengesan atau menerima maklumat sesuatu masalah rakyat di peringkat akar umbi jika tidak ada agen untuk mengetengahkannya,” katanya semasa Program Gotong Royong Adun N43 Sekong membaiki jambatan di Kg Desa Permai, Sandakan.

Beliau berkata, peranan JKKK dan ketua kampung ibarat komponen kepada sebuah jentera kepada kerajaan yang saling lengkap melengkapi.

“Jika komponen ini tidak berfungsi, maka jentera kerajaan yang diterajui oleh UMNO dan Barisan Nasional di Sabah hari ini juga tidak mungkin dapat bergerak lancar,” ujar beliau.

Tambah beliau, peranan yang sama juga perlu dimainkan oleh agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM) yang mempunyai tanggungjawab secara langsung membantu rakyat yang kurang berkemampuan.

Katanya, pegawai-pegawai JKM bukan sahaja perlu sentiasa turun padang mendapatkan maklumat mengenai penerima bantuan tetapi juga mengesan mereka yang layak tetapi tercicir.

Ujar beliau, adalah tidak wajar jika sesuatu masalah itu ditimbulkan oleh media, baru pegawai-pegawai yang berkenaan mahu bertindak.

“Kita tidak mahu kelekaan dan kecuaian JKKK, ketua kampung dan pegawai agensi berkaitan ini menangani masalah rakyat akhirnya parti memerintah UMNO dan BN dihukum apabila tiba musim pilihan raya.

Beliau berkata, adalah penting bagi JKKK dan ketua kampung yang dilantik berusaha sebaik mungkin menggembleng tenaga dengan wakil rakyat dalam menyelesaikan isu-isu rakyat setempat.

Katanya, wakil rakyat dalam masalah itu boleh memainkan peranan membuat permohonan ke peringkat yang lebih tinggi seperti peruntukan kewangan dan sebagainya.

Beliau turut melawat ke Kampung Bakau meninjau keadaan Surau Al Hijratul Jannah Kg Bakau yang sedang dibaik putih bersama-sama dengan Ketua Kg KK Kamlon Hassan dan Imam Hj Abdul Rashid. Serta melawat warga emas yang uzur di Kg Desa Permai dan menyampaikan sumbangan peribadi.

Dalam majlis berlainan Adun Sekong, Datuk Samsudin Yahya merasmikan rakaman rancangan Hari Raya Aidilfitri ”MASIH ADA YANG SAYANG” anjuran Sandakan FM dengan kerjasama Jabatan Penjara Sandakan.


Sumber:  Sayang Sabah


0 comments: