Antara tanggungjawab baharu yang akan digalas JKKK termasuklah untuk melaksanakan kerja-kerja membaik pulih rumah kediaman PPRT di kawasan kampung mereka
Kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bakal memperkenalkan beberapa inisiatif baharu bagi memperkasa institusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bermula tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemerkasaan dan penambahbaikan yang dilaksanakan terhadap institusi tersebut merupakan pengiktirafan daripada pihak kerajaan kepada Pengerusi JKKK dan ahlinya.
Menurutnya, selain dilantik sebagai pendaftar pemilih bagi menambah bilangan pengundi apabila tiba musim pilihan raya, JKKK akan memainkan peranan sebagai ejen kepada kerajaan di peringkat akar umbi.
“Antara tanggungjawab baharu yang akan digalas JKKK termasuklah untuk melaksanakan kerja-kerja membaik pulih rumah kediaman PPRT di kawasan kampung mereka yang mana tugas tersebut dilakukan kontraktor luar sebelum ini.
“Selain itu JKKK turut diberi peranan sebagai pemantau perjalanan projek khususnya projek-projek kerajaan yang dibangunkan di dalam kawasan kejiranan mereka bagi mengelak berlaku masalah projek terbengkalai,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa hadir menyempurnakan Majlis Perhimpunan JKKK Negeri Johor di Hotel Berjaya Waterfront di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohamed; Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Norazman Othman dan Presiden Persatuan Ketua-Ketua Kampung Negeri Johor, Rosli Kasmin.
KKLW memperuntukkan sebanyak RM15.65 juta bagi pembayaran empat jenis elaun JKKK seluruh negeri Johor tahun ini membabitkan elaun Pengerusi, Setiausaha, Pengendalian Mesyuarat dan Kehadiran Mesyuarat.
Pengerusi JKKK menerima elaun bulanan sebanyak RM900, selari dengan tugas dan tanggungjawab yang dipikul, Setiausaha menerima elaun bulanan RM300 beserta elaun pengendalian mesyuarat sebanyak RM100 manakala ahli JKKK menerima elaun kehadiran mesyuarat sebanyak RM50.
Ismail Sabri memberitahu, inisiatif-inisiatif tersebut dicapai pihaknya menerusi mesyuarat kabinet yang diadakan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan Disember lalu.
Tambahnya, KKLW akan turut memperkenal kad pengenalan khas kepada lebih 250,000 ahli JKKK di seluruh negara bagi membolehkan mereka berurusan secara langsung di agensi-agensi kerajaan berkaitan.
“Bagi memastikan perjalanan mesyuarat dan projek berjalan lancar, kementerian bakal menyediakan kemudahan dalam talian iaitu e-Pelaporan.
“Selain itu kementerian juga telah menyerahkan kertas kerja bagi cadangan penyediaan insurans berkelompok dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi meningkatkan lagi kebajikan pihak terlibat,” ujarnya.
Sumber: Utusan-Malaysia
0 comments: