Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meluluskan sebanyak RM7. 41 juta pinjaman Tabung Modal Pusingan (TMP) kepada tujuh daripada 21 buah koperasi di Sabah yang memohon pinjaman itu sehingga 30 November lalu.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Yahya Hussin berkata, secara keseluruhannya nilai jumlah permohonan daripada 21 buah koperasi itu ialah RM40. 36 juta.
“Baki 14 lagi permohonan masih dalam tindakan Ibu Pejabat SKM,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Peringkat Negeri Sabah (MPKN) bilangan 2 bagi tahun 2015 di Soluxe Hotel Putatan, di sini, kelmarin.
Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Sabah, Umar Sarim Haji Saidin. Yahya yang juga Pengerusi MPKN Sabah berkata, SKM juga telah meluluskan permohonan Geran Bantuan Pembangunan daripada 17 buah koperasi di seluruh negeri ini bernilai RM725,000.
Beliau berkata, secara keseluruhannya sebanyak 32 buah koperasi di negeri ini telah memohon geran Bantuan Pembangunan berjumlah RM1.95 juta.
“SKM berharap pembiayaan dana melalui pinjaman TMP serta permberian geran bantuan kepada koperasi yang terpilih akan dapat dimanafaatkan sebaiknya oleh koperasi-koperasi dalam membangun dan memantapkan aktiviti masing-masing, agar boleh menjana pendapatan atau “turnover” yang tinggi serta dapat menyumbang kepada peningkatan pendapatan anggota koperasi,” katanya.
Menurutnya, sehingga 30 November 2015, Sabah mempunyai sebanyak 1,264 koperasi berdaftar dengan keanggoataan seramai 344,374 orang dengan modal syer dan yuran sebanyak RM135.2 juta, aset bernilai RM693.5 juta dan perolehan sebanyak RM154.5 juta (setakat Jun 2015).
Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri berkata, sepanjang tahun ini, SKM telah melaksanakan pelbagai program pembangunan perniagaan, antaranya ialah pelaksanaan Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR), pusat pengumpulan (distribution centre – DC), SUB-DC dan pasaraya.
Katanya, Program pembangunan perniagaan yang amat menyerlah ketika ini ialah aktiviti Ar-Rahnu. Beliau berkata, SKM telah mengambil langkah mengkaji semula pencapaian (mid-term review) Dasar Koperasi Negara ke-2 (2011-2020) bagi menilai, memperkukuh dan mengkaji semula strategi dasar tersebut yang telah memasuki tahun akhir bagi jangkamasa sederhana yang bermula dari Januari 2013 hingga Disember 2015.
Katanya lagi, mulai tahun hadapan sambutan Hari Koperasi Negara akan menjadi acara dwi-tahunan dan akan diselang-selikan dengan Sambutan Hari Koperasi Peringkat Negeri.
“Selain itu, SKM juga akan memberikan tumpuan kepada usaha untuk membuat semakan semula ke atas Akta 502 secara menyeluruh,” katanya.
Mengenai MPKN Yahya berkata, ianya diwujudkan sebagai suatu platform bagi menentukan hala tuju pembangunan gerakan koperasi di samping meningkatkan kerjasama antara pihak-pihak yang terlibat dengan pembangunan koperasi.
Katanya, melalui MPKN segala cadangan bagi pembangunan gerakan koperasi di negeri ini dapat dibincang, dipertimbang dan dipersetujui bersama di kalangan ahli-ahli MPKN yang terdiri daripada wakil-wakil kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dengan pembangunan koperasi serta mempunyai sumber-sumber dan program- program tertentu yang boleh ditawarkan untuk tujuan membangunkan gerakan koperasi.
“Keputusan yang dicapai dalam mesyuarat ini, dapat membantu memperkukuhkan gerakan koperasi dan merealisasikan peranan sektor koperasi sebagai salah satu sektor terpenting dalam membangunkan taraf sosio-ekonomi masyarakat terutamanya anggota koperasi di Sabah khasnya dan di Malaysia amnya,” katanya.
Yahya berharap melalui mesyuarat MPKN ini, semua maklumat berkaitan dasar- dasar kerajaan dapat disampaikan hingga ke akar umbi dan pelaksanaannya dapat dijalankan seperti yang dirancangkan agar anggota koperasi khususnya dan rakyat dapat menikmati pembangunan sosio-ekonomi yang seimbang.
Sempena mesyuarat itu, Yahya turut menyampaikan geran bantuan Program Groom Big sebanyak RM60,000 kepada Koperasi Pengusaha Industri Kecil Sederhana Sabah Berhad.
Sumber: newsabahtimes
0 comments: