KEBAHAGIAAN dan kesenangan hakiki bukanlah diukur berasaskan nilaian wang ringgit mahupun harta yang menggunung. Berapa ramai yang kaya harta dan mewah wang ringgit tetapi hidup berduka, bahkan hati sentiasa gundah gulana.
Hakikatnya pemilikan harta dalam Islam datang bersamanya satu amanah yang bakal dipertanggungjawabkan oleh ALLAH kepada setiap manusia. Bahkan di akhirat kelak, seseorang itu akan ditanya berkenaan empat perkara termasuklah berkenaan hartanya yang sudah tentu berkait rapat dengan pekerjaannya di dunia, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Tidak akan sesekali berganjak kedua-dua kaki seseorang hamba pada hari kiamat sehinggalah dia ditanya berkenaan empat perkara: Berkenaan masa mudanya, pada perkara apakah dia telah habiskannya? Berkenaan umurnya, pada perkara apakah dia telah gunakannya? Dan berkenaan hartanya, dari mana dia dapatkannya dan ke manakah dia belanjakannya?”.
Hadis hasan riwayat at-Tabrani.
Dalam hadis ini jelas bahawa apabila melibatkan harta, ALLAH mempertanggungjawabkan kepada kita dua perkara iaitu dari mana kita memperoleh setiap sen harta yang dimiliki dan ke mana pula kita membelanjakannya.
Istilah keberkatan adalah suatu istilah yang tidak ada dalam kamus sekular Barat. Dalam falsafah sekular Barat, pekerjaan yang dilakukan diukur pada natijah yang hanya bersifat material dan fizikal.
Sebab itulah, falsafah kehidupan berasaskan kebendaan seperti ini diorientasikan kepada sifat mengaut keuntungan semaksimum mungkin kerana ukuran kebahagiaan hanyalah berpaksikan nilaian yang bersifat material semata-mata.
Ini berbeza dengan umat Islam yang beriman, kerana kejayaan dan kebahagiaan bukan berpandukan kepada nilaian kebendaan semata-mata tetapi memperakui kepentingan mendamba keberkatan daripada ALLAH pada setiap pekerjaan yang dilakukan.
Perkataan keberkatan adalah berasal daripada bahasa Arab iaitu barakah atau mubarakah. Ia bererti pertambahan, pertumbuhan, kebaikan, nikmat yang akan membawa kepada ketenangan dan kebahagiaan di dunia serta di akhirat. Dalam al-Quran, ALLAH SWT banyak menyebut berkaitan dengan keberkatan. Contohnya dalam Surah al-A’raf ayat 96:
“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi..”.
Ayat ini menjelaskan bahawa keberkatan yang ALLAH berikan kepada sesuatu penduduk negeri adalah bergantung kepada keimanan dan ketakwaan mereka. Dalam tafsir al-Waset, dinyatakan bahawa keberkatan yang dimaksudkan adalah dengan cara ALLAH mempermudah segala kebaikan kepada mereka dari segenap sudut.
Begitu juga dalam kehidupan dan pekerjaan kita. Dalam mencari keberkatan ALLAH, pekerjaan yang kita lakukan hendaklah didasari atas dasar keimanan dan ketakwaan kepada ALLAH.
Pastinya ia melibatkan hukum-hakam halal dan haram yang mesti diteliti oleh seseorang yang bekerja. Ini kerana sumber rezeki yang haram akan menghalang keberkatan ALLAH. “Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh, sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan”. (Surah al-Mukminun, ayat 51).
Bagi mencari keberkatan dalam pekerjaan juga, walaupun pekerjaan itu secara zahirnya adalah halal, namun perkara-perkara yang menghalang keberkatan tidak harus dianggap remeh seperti soal ketepatan masa, kesungguhan bekerja, menggunakan barang-barang tempat kerja untuk kegunaan peribadi, menghabiskan masa kerja dengan sia-sia, akhlak dan hubungan yang baik dengan rakan-rakan sekerja, sikap dengan majikan, menjaga solat, adab dan sebagainya. Kesemua ini dilihat dan dipandang oleh ALLAH untuk kita mendapat keberkatan dan kasih sayang-Nya. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya ALLAH suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan teliti”. Hadis hasan riwayat al-Baihaqi.
Natijah dari pekerjaan yang diberkati dan didasari atas dasar iman dan takwa, ALLAH akan memberikan kepadanya sebuah kehidupan yang baik, tenang, bahagia, dan mencukupi walaupun sumber kewangannya tidaklah seberapa. Firman ALLAH:
“Sesiapa yang beramal soleh, daripada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya
Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan”. Surah an-Nahl, ayat 97.
Justeru, carilah keberkatan dalam pekerjaan seharian yang akan menjadikan hidup kita lebih tenang dan bahagia. Inilah yang perlu diletakkan keutamaan oleh kita berbanding dengan pekerjaan yang hebat pada zahirnya tetapi jauh daripada keberkatan ALLAH. Moga-moga ALLAH pelihara kita daripadaa segala yang menjauhkan diri daripada mendapat keberkatan-Nya.
Sumber: sinarharian
0 comments: