07 Disember 2014

Sektor koperasi mampu menyumbang dalam transformasi ekonomi

Sektor koperasi diyakini mampu memainkan peranannya dalam menyumbang peningkatan hasil negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi melalui pelbagai program yang telah dikenalpasti selaras dengan usaha-usaha kerajaan melaksanakan transformasi ekonomi negara dalam berbagai Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Linda Tshen Thau Lin, menegaskan bersandar keyakinan dan iltizam maka pihak kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat jelata sebagai platform untuk melangkah terus ke hadapan.

“Terpulang kepada rakyat untuk memilih bidang ekonomi mana yang hendak diceburi. Oleh hal demikian, rakyat seharusnya merebut segala peluang dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan untuk dimanfaatkan sama ada secara persendirian ataupun berkumpulan.

“Saya yakin, melalui koperasi mereka yang menjadi anggota memahami serta mempunyai perancangan terbaik untuk menjana pendapatan koperasi masing-masing.

“Andai koperasi berjaya memperolehi keuntungan yang tinggi, tentu sekali para anggota juga yang akan mendapat habuannya sama ada dalam bentuk kewangan mahu pun perkhidmatan yang lebih baik,”
jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pembudayaan Koperasi dan Pelancaran Majlis Perundingan Koperasi peringkat Parlimen P.185 Batu Sapi di Ballroom, Hotel Sanbay, di sini, kelmarin.

Lebih kurang 200 orang peserta sekitar kawasan Batu Sapi telah menyertai seminar yang memberi pendedahan kepada setiap golongan rakyat berkaitan peranan dan usaha Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam meningkatkan taraf hidup mereka melalui koperasi.

Ia juga memberi pendedahan kepada anggota koperasi mengenai peluang-peluang perniagaan dalam bidang francais yang boleh membantu koperasi menjana dan meningkatkan sumber pendapatan melalui aktiviti ekonomi bernilai tinggi.

Selain memberikan pendedahan kepada peserta seminar mengenai kemudahan-kemudahan yang boleh diperolehi oleh koperasi yang terletak di bawah program desa lestari itu, ianya turut merapatkan hubungan SKM dengan semua anggota koperasi dan golongan rakyat terutamanya di Parlimen Batu Sapi ini.

Di samping itu meningkatkan jalinan kerjasama di antara pihak SKM dengan agensi di bawah KPDNKK serta francaisor dalam memperkasakan gerakan koperasi di Sabah.

Mengulas lanjut, Linda selaku Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi Parlimen (MPKP) Parlimen Batu Sapi menggesa agar masyarakat dapat mendalami ilmu koperasi dengan mengikuti kursus-kursus dan seminar yang dianjurkan SKM, Maktab Koperasi Malaysia (MKM), ANGKASA serta Pusat Latihan Kecemerlangan Koperasi (PULAKOP) seperti yang diadakan pada seminar tersebut.

Katanya, penganjur yang mengendalikan seminar seumpama ini bukan sahaja menyediakan kursus berkaitan pengurusan dan perundangan koperasi tetapi juga kursus-kursus keusahawanan dan asas-asas perniagaan.

“Saya ingin mengucapkan syabas kepada pihak SKM kerana berjaya menganjurkan Seminar Pembudayaan Koperasi dan Pelancaran Majlis Perundingan Koperasi Parlimen Batu Sapi.

“Apa yang penting pemimpin koperasi akan berusaha dengan lebih gigih ke arah memantapkan koperasi masing-masing agar dapat bergerak selaras dengan era globalisasi.

“Manakala kepada orang ramai yang masih belum menganggotai mana-mana koperasi, inilah peluang mereka untuk mengenali koperasi dengan lebih dekat lagi kerana seminar pembudayaan seumpamanya diadakan khusus yang berada di Parlimen Batu Sapi ini.

“Saya difahamkan bahawa ini adalah program yang pertama dilaksanakan bagi peringkat Parlimen Batu Sapi dan ianya adalah kesinambungan kepada penubuhan MPKP Batu Sapi yang mana salah satu objektif penubuhan MPKP adalah bagi menyelaras program-program pembangunan koperasi di peringkat Parlimen, di samping untuk mendapatkan input bagi merangsang pembangunan koperasi di kawasan Parlimen Batu Sapi ini,”
ujar beliau.

Pembentangan kertas kerja disampaikan pihak SKM; Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Koperasi Pelancongan Mukim Batu Putih Kinabatangan Berhad (KOPEL).


Sumber: newsabahtimes



0 comments: