05 April 2012

SAJAK - PERJUANGAN BELUM SELESAI


Salamu'alaikum, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

Menjelang hampirnya pentas PRU13, semua firkah politik giat memperkuatkan kelengkapan bala jentera masing-masing untuk memastikan peluang yang akan menjadi taruhan menjejakan kaki di Putra Jaya mentadbir negara tercinta MALAYSIA.

Cabaran semakin menggunung akan dihadapi oleh kita semua, apakah kita dapat mendakinya, kemudian memasak panji kemenangan dipuncak kejayaan meninggalkan yang lain, sebagai mempertahankan maruah negara, maruah bangsa yang sekian lama dijulang bersama.

Kita telah kecapi keamanan dan pembangunan selama ini, kerana perjuangan yang belum selesai, dan penentunya kelak hampir tiba..... 2020.

Wahai rakan-rakan sepasukan yang ada dalam rangkuman Barisan Nasional ditunjangi firkah pembela bangsaku dipasak dengan panji sang saka bangsa. Mari kita berhati-hati serta waspada sebab musuh terlalu dekat dengan kita, dan paling bahayanya adalah, musuh kita diri kita sendiri.

Sebab, apabila kesabaran telah hilang rohnya, apabila ketabahan telah hilang kotanya, apabila semangat perpaduan telah hilang temboknya, apabila semangat perjuangan telah hilang panjinya, maka sangat mudah musuh menakluki tahta.

Beringatlah wahai rakan-rakan seperjuangan, pililah hulubalang dan para panglima juang yang taat setia kepada bangsanya dan nusanya, iaitu yang tidak dapat diikat lehernya oleh mahligai cinta jelitawan para hawa, kemewahan harta benda dan pujuk rayu sang musuh durjana.

Sejarah telah memahat bukti perjuangan bangsa, walaubagaimana lemahnya sekalipun sebuah firkah, namun jika pengikutnya rukun bersatupadu, ia boleh menggerunkan dunia. Mari kita ambil perhatian ungkapan bekas Perdana Menteri Malaysia.

" kita rapatkan barisan dan lupakan tentang perselisihan faham antara kita, supaya dapat menumpuhkan kepada segala usaha untuk mempertahankan negara... "   Tun Dr. Mahathir Mohammad

Dan di bawah saya lampirkan sebuah sajak nukilan beliau sebagai motivasi diri untuk kita berjuang demi agama, bangsa dan negara.
 



PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI

Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayatkan
dari melihat bangsaku dijajah.

Tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina.

Air mata tiada ertinya
sejarah silam tiada maknanya
sekiranya bangsa tercinta terpinggir
dipersenda dan dilupakan.

Bukan kecil langkah wira bangsa
para pejuang kemerdekaan
bagi menegakkan kemuliaan
dan darjat bangsa
selangkah beerti mara
mengharung sejuta dugaan.

Biarkan bertatih
asalkan langkah itu yakin dan cermat
bagi memastikan negara
merdeka dan bangsa terpelihara
air mata sengsara
mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita.

Tugas kita bukan kecil
kerana mengisi kemerdekaan
rupanya lebih sukar dari bermandi
keringat dan darah menuntutnya.

Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan
kalau bangsaku asyik mengia dan menidakkan,
mengangguk dan membenarkan,
kerana sekalipun bangganya negara
kerana makmur dan mewahnya,
bangsaku masih melata
dan meminta-minta di negaranya sendiri.

Bukan kecil tugas kita
meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
kerana rupanya selain memerdekakan,
mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara.

Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
bukankah sejak zaman berzaman
mereka menjadi pelaut, pengembara
malah penakluk terkemuka?

Bukankah mereka sudah mengembangkan
sayap, menjadi pedagang dan peniaga
selain menjadi ulama dan ilmuan terbilang?

Bukankah bangsaku pernah mengharung
samudera menjajah dunia yang tak dikenal?

Bukankah mereka pernah menjadi
wira serantau yang tidak mengenal erti takut
dan kematian?

Di manakah silapnya hingga bangsaku
berasa begitu kecil dan rendah diri?

Apakah angkara penjajah?

Lalu bangsaku mulai melupakan kegemilangan
silam dan sejarah gemilang membina empayar…

Tugas kita belum selesai rupanya
bagi memartabat dan memuliakan bangsa
kerana hanya bangsa yang berjaya
akan sentiasa dihormati.

Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan
buat selama-lamanya.

Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
kerana masa depan belum tentu
menjanjikan syurga
bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa.

Perjuangan kita belum selesai
kerana hanya yang cekal dan tabah
dapat membina mercu tanda
bangsanya yang berjaya.


Tun Dr. Mahathir Mohamad
Mei 1996



0 comments: